|
Create your Blog on PORTAL ZAIS BEAUTY FORMULA | HOME
|
![]() |
Kisah Mistik |
003027
Visits

Ruang legar di wad unit rawatan rapi (ICU) pada malam itu, sunyi sepi. Tiada orang lalu-lalang. Malam itu merupakan malam pertama saya ditugaskan bekerja syif malam. Hanya saya dan seorang lagi jururawat bertugas pada malam itu.
Pertama kali bekerja malam, membuatkan saya jadi begitu mengantuk. Bosan. Semua pesakit sedang tidur.
Jam menunjukkan 4.00 pagi. Kelopak mata menjadi terlalu berat untuk dibuka. Bagi menghilangkan kebosanan dan mengantuk, saya berulang-alik di kawasan kaunter, melihat keadaan sekeliling. Kemudian, saya duduk di kerusi tidak jauh dari situ sambil mendengar lagu dari walkman. Saya pejamkan mata, fikiran mula melayang dan beberapa minit kemudian.....
PAANNGG!! Tiba-tiba pipi saya ditampar oleh seorang jururawat Cina. “Bangun! Jangan tidur di sini!” marah jururawat itu, kemudian terus berlalu.
Saya terpinga-pinga. Sudahlah kena marah, kemudian di tampar pula. Tapi...... “Siapa jururawat ini?” saya bertanya di dalam hati.
Saya segera mendapatkan teman setugas saya di kaunter. “Siapa jururawat Cina tu?” soal saya padanya. Kawan saya tercengang. Dia memandang kiri dan kanan. Katanya dia tidak nampak sesiapa pun yang lalu di hadapan kaunter. Kalau ada orang lalu, tentu dia akan perasan. Tambahan pula, hanya kami berdua sahaja yang bekerja pada malam itu.
Saya terkejut. Ah, kalau tidak ada orang, siapa yang menampar pipi saya?
“Betul, aku nampak dia lalu sini tadi. Pipi aku ni masih sakit lagi,” kata saya, lalu memberitahu, saya melihat sendiri jururawat berbangsa Cina itu berjalan ke arah kaunter.
“Tak ada sesiapa. Mungkin kau mengigau, ATAU....!!!” kata kawan saya itu tanpa menghabiskan kata-katanya. Kami saling berpandangan.......
Esoknya, saya ceritakan apa yang berlaku itu kepada kawan-kawan yang lebih senior. Mereka semua tersenyum dan berpesan, jangan tidur ketika bekerja syif malam. Kalau tertidur, 'benda itu' akan datang mengganggu.
Kawan-kawan saya yang lebih senior itu juga berpesan, jangan lupa untuk menyimpan gunting dalam poket apabila bekerja malam. Sebabnya 'benda itu' takut pada benda-benda tajam.
Disebabkan saya baru bekerja di hospital tersebut, kawan-kawan sering mengingatkan, kalau terlihat seseorang yang agak pelik, diamkan saja. Kata mereka, mungkin apa yang saya lihat itu adalah jelmaan pesakit yang telah meninggal dunia.
Pada mulanya saya ragu dengan cerita-cerita sebegini. Mungkin ia mainan perasaan saja, hinggalah suatu malam apabila saya terdengar suara orang menangis. Suara itu begitu sayu, dan yang menakutkan, ia datangnya dari katil seorang wanita yang membunuh diri akibat putus cinta! Di katil itulah dia menghembuskan nafas terakhir selepas beberapa hari terlantar akibat meminum racun.
Pada hari yang lain, saya melihat pula bayang-bayang tubuh seorang lelaki yang baru meninggal dunia. Pukul 3.00 pagi hari yang lain, saya melihat seorang kanak-kanak berjalan seorang diri di luar wad. Kanak-kanak perempuan itu bersendirian, mundar-mandir di tepi pintu dan ruang legar, kemudian hilang entah ke mana. Keesokannya, kanak-kanak itu muncul lagi, kali ini berhampiran sebuah katil.
Daripada bentuk badannya, baru saya sedar, bayangan itu adalah jelmaan kanak-kanak yang baru meninggal dunia akibat barah otak. Kanak-kanak berusia 10 tahun itu meninggal selepas tiga minggu dimasukkan ke wad dan yang sedihnya, sepanjang dirawat, dia sering saja menangis kerana tidak tahan menanggung kesakitan di kepalanya.
Selepas 15 tahun berkhidmat sebagai jururawat, akhirnya jelmaan – jelmaan itu tidak lagi menakutkan saya. Bagi saya, ia sudah menjadi perkara biasa. Mungkin ia menjelma kerana si mati belum bersedia untuk meninggal dunia. Mungkin juga kerana ada sesuatu yang ingin dinyatakan oleh si mati, tetapi tidak dapat dilakukan kerana nyawanya sudah dicabut terlebih dahulu.
Oleh sebab itulah mereka menangis, menjerit dan berlegar di katil tempat mereka menghembuskan nafas terakhir. Malah, ada yang terlampau marah hingga menggoyang katil berkenaan atau memegang tangan saya..
Apabila ada waktu terluang, saya ceritakan kisah-kisah ini kepada kawan-kawan. Bagaimanapun, kata mereka, apa yang saya alami itu tidak sengeri yang dialami oleh seorang doktor.
Menurut kawan-kawan, sejak bertugas di hospital itu, doktor tersebut lebih suka menggunakan tangga kerana lif lambat. Suatu malam, doktor tersebut terjumpa seorang wanita sedang menangis di tangga yang sering di gunakannya.
“Kenapa menangis di sini? Pergi bilik awak, nanti jururawat cari, tak jumpa,” kata doktor tersebut. Bagaimanapun, pesakit wanita itu tidak menjawab. Dia terus menangis tersedu-sedu. Malah, pesakit itu tidak langsung mengagkat mukanya. Bimbang wanita tersebut mengalami tekanan perasaan, doktor berkenaan memujuknya supaya segera balik ke katil. Tapi usaha itu tidak berhasil.
Lantas, doktor tersebut memanggil dua orang jururawat supaya pergi mendapatkan wanita tersebut sebelum dia membunuh diri atau melarikan diri dari hospital. Jururawat yang diarahkan oleh doktor itu pergi ke tangga, tapi..... anda tahu apa yang berlaku, kan? Ya, tiada siapa di tangga itu!
Untuk pengetahuan anda, doktor itu tidak percaya pada kewujudan jelmaan-jelmaan misteri dan 'hantu'. Lantas, apabila jururawat berkenaan memberitahu mereka tidak menjumpai sesiapa yang sedang menangis di tepi tangga, doktor berkenaan tidak percaya.
Dia pergi ketangga tersebut, dan....... !!!!! Ya, tangga itu kosong. Selepas kejadian itu, doktor tersebut tidak lagi menggunakan tangga sampailah sekarang. Jika dahulu dia membenci lif, sekarang dia membenci tangga.
Petikan : Mastika/Ogos2008/muka surat 121 – 123