|
Create your Blog on PORTAL ZAIS BEAUTY FORMULA | HOME
|
![]() |
Kisah Mistik |
003003
Visits
"PERTENGAHAN 1990-AN...."
Tepat pukul 11.00 malam, warden menutup semua lampu di asrama kami. Selimut ditarik, kami memejamkan mata. Suasana begitu nyaman kerana asrama kami merupakan rumah papan, terletak jauh di pedalaman negeri Pahang. Bandar yang paling hampir pun letaknya nun 25 km dari asrama.
Sekolah agama tempat kami belajar itu asalnya bekas pejabat orang-orang Inggeris yang melakukan perlombongan bijih di sekitar kaki bukit. Asrama kami pula yang terletak bertentangan dengan sekolah, adalah bekas rumah kakitangan Jabatan Kerja Raya. Bagaimanapun, ia terbiar kosong selama beberapa tahun sebelum ditukar menjadi asrama. Selain saya, ada 23 pelajar lagi menginap di asrama itu dan kami ditempatkan dalam dua buah bilik besar. Semasa hanyut dibuai mimpi, tiba-tiba saya terjaga. Saya genyeh-genyehkan mata yang terasa pedih dan masih mengantuk. Saya lihat lampu bilik semuanya terpasang manakala teman-teman sebilik seperti biasa, ada yang mengemas katil dan ada juga yang menukar baju untuk mandi.
Saya tanpa berlengah , segera bangun lantas mencapai tuala dan berjalan ke bilik air. Saya tolak pintunya yang sedikit renggang. Ketika mahu mengambil bekas peralatan mandi, saya lihat teman-teman lain hanya mengambil sabun basuh dan berus, kemudian ke pintu untuk membasuh di pelantar yang telah disediakan di luar bilik air. Saya perhatikan, hanya saya seorang saja yang berada di dalam bilik itu.
Tanpa mempedulikan sesiapa, saya terus masuk ke dalam bilik mandi. Bunyi mereka memberus dan membilas pakaian cukup jelas kedengaran kerana pelantar itu letaknya betul-betul di belakang bilik mandi yang sedang saya gunakan.
Tiba-tiba kerancakan bunyi orang membasuh dan memberus, terhenti serta-merta. Yang terdengar hanya sayup-sayup suara lolongan anjing bersahut-sahutan. Lolongan itu memanjang dan menyeramkan.
Saya mula kehairanan. Dengan segera saya sudahkan mandian dan mengambil wuduk untik bersolat subuh. Ketika meletakkan bekas mandian, saya memaling ke arah pintu bilik air kami. Hairan, pintu tertutup rapat. Malah berkunci dari dalam. Berus dan sabun basuh itu kering. Tiada tanda-tanda ia dibasahi air. Badan saya mula menggigil. Saya terus keluar dari bilik air tersebut dan bergegas menuju ke bilik tidur.
Langkah saya terhenti. Sekali lagi saya terkejut kerana ruang tamu yang menempatkan almari, kerusi dan meja, kelihatan gelap. Lampunya tertutup. Yang menyala ketika itu hanya lampu bilik air yang saya gunakan sebentar tadi. Saya tolak pintu bilik kami yang sedikit renggang. Gelap gelita. Suis ditekan dan, paappp....lampu terpasang.
Saya tergamam, kawan-kawan saya semuanya sedang nyenyak tidur. Salah seorang daripada mereka terjaga apabila bilik kami diterangi lampu yang saya buka tadi. Dia terus bertanya, kenapa saya berkemban. Saya tidak menjawab pertanyaanya. Sebaliknya saya bertanya semula, bukankah dia sudah bangun tadi, kemudian membasuh di pelantar. Dia tercengang.
“kau ni mengigau ke??” soalnya kembali. Mengigau? Tidak! Saya tidak mengigau!
Disebabkan bilik kami terang, kawan-kawan yang lain mula terjaga. Masing-masing kehairanan, malah ada yang marah kerana menyangka saya mengulang kaji pelajaran hingga dinihari.
Saya berusaha meyakinkan mereka bahawa saya tidak mengigau, tetapi baru saja selesai mandi. Saya juga beritahu bahawa saya lihat mereka semua sudah bangun dan kemudian membasuh pakaian.
Tiba-tiba terlintas di fikiran saya untuk melihat jam di tepi katil. Baru pukul 2.35 pagi! Badan saya menggeletar, kaki saya terasa kebas. Ketika itu baru saya terfikir sesuatu yang menakutkan. Patutlah tadi, sewaktu saya tiba-tiba terjaga dari tidur, saya lihat semua kawan-kawan saya langsung tidak bercakap semasa mengemas katil masing-masing. Mereka juga, langsung tidak bersuara sewaktu membasuh pakaian di pelantar, sedangkan selama ini kawan-kawan saya itu pasti akan berbual-bual semasa mengemas bilik dan membasuh pakaian. Rupa-rupanya...!!!
Tiba-tiba pandangan saya menjadi kabur. Seketika kemudian saya pengsan. Akibat kejadian itu, saya bercuti selama seminggu untuk memulihkan semangat....
petikan : mastika / disember2007 / m/s 114-115