|
Create your Blog on PORTAL ZAIS BEAUTY FORMULA | HOME
|
![]() |
Kisah Mistik |
003007
Visits
“Malam ni saya hantar akak balik” Itulah yang diucapkan Oleh Min setelah melihat kawannya Lin, tergocoh-gocoh menyiapkan kerja yang bertimbun di atas meja. Min sebenarnya kasihan kepada Lin yang tinggal jauh dari kawasan tempat kerja. Kalau tidak dihantarnya Lin tentulah teruk dia menunggu bas untuk pulang ke rumahnya.
Selain untuk menghantar Lin balik, sebenarnya Min mahu singgah makan di restoran berhampiran rumah Lin yang makanannya memang sedap. Bak kata orang, sambil menyelam minum air. Begitu jugalah niat Min. Setealah menyiapkan kerjanya yang bertimbun itu, segera diajaknya Min balik. Melum sempat mereka berdua meninggalkan pejabat, tiba-tiba telefon berdering. “Jangan angkatlah. Lagipun sekarang waktu pejabat sudah habis. Siapa pula yang menelefon itu. Macam tidak tahu pula mereka sekarang sudah malam” Cepatlah kita keluar. Lagi cepat kita bergerak, lagi cepat kita sampai rumah.” Tambah Lin lagi.

Namun begitu sudah sifat Min yang memang mudah kasihan dengan sesiapa sahaja. Tidak dihiraukannya kata Lin itu. Diangkatnya telefon tersebut. “Hello, siapa di sana?” Soal Min dengan mesra. Tiada jawapan yang didengari dari ganggang tersebut. Namun Min tidak berputus asa. Mungkin pemanggil tesebut tidak mendengarnya lalu diulanya semula pertanyaan itu. Namun tidak ada juga jawapan yang didengarinya. Tercabar juga kesabarannya.
“Cepatlah Min.” Laung Lin dari tangga pejabat. “Dah lewat malam ni. Nanti kalau lambat takut pula kau nak memandu balik ke rumah nanti.” gesa Lin dengan tidak sabar. “Oklah. Aku datang ni!” Jawab Min separuh menjerit. Perjalanan ke rumah Lin bukannya jauh terutamanya bagi mereka yang mempunyai kereta. Sebab itulah Min sanggup menghantar Lin walaupun pada malam hari. “Kalau ke rumah akak tu, bukannya banyak sangat minyak kereta saya habis.” itulah jawapan Min apabila Lin seperti berat hati untuk menerima pelawaannya.
Sedang mereka asyik mendenga lagu yang berkumandang di corong radio, tiba-tiba sahaja Lin menjerit. “Min, kucing di depan itu!”. Kereta yang dipandu Min tidak sempat mengelak kucing yang sedang melintas di tengah jalan. Bedebuk! “Alamak! Min kau dah langgar kucing tu!” Jerit Lin. “Macam mana ni kak? Saya tak nampak pun kucing itu datang. Tiba-tiba aje dia dah berada di tengah jalan. Nak berhenti ke tidak?” Soal Min menggeletar.
“Tak payahla. Lagi pun kereta banyak ni. Kucing tu mesti dah mati.” jawab Lin perlahan. Apa nak buat nasi dah menjadi bubur. Min yang masih terkejut terus menghantar Lin balik ke rumahnya. Hilang seleranya untuk singgah di restoran. Perasaan bersalah masih menguasai perasaan laparnya. Tida tidur Min pada malam itu kerana teringatkan kucing yang telah dilanggarnya itu. “Teruknya aku. Bukan sebarang kucing yang aku langgar, kucing putih.” Bisik Min di dalam hati.
Teruk juga dia menangis kerana inilah kali pertama dia melanggar binatang sejak dia memiliki lesen kenderaan. “Lain kali aku mesti berhati-hati. Tak sanggup lagi aku hendak langgar seekor kucing lagi.” itulah janji Min di dalam hati. Pada keesokan harinya adalah hari minggu. Min, Lin dan beberapa orang kawan sepejabat telah berjanji untuk menghabiskan malam minggu mereka untuk menonton wayang. Sepeti biasa Min jugalah yang akan menjadi seperti 'pemandu'. Tetapi dia tidak kisah kerana sebagai seorang insan, sifat tolong menolong telah ditanam di dalam hatinya sejak kecil lagi.
Seperti biasa Min akan melalui jalan yang biasa di laluinya untuk pergi ke rumah Lin. Apabila sahaja dia melalui jalan yang dilalui semalam Min seperti fobia apabila teringatkan kucing yang dilanggarnya semalam. Namun nasib baiklah tiada apa yang berlaku sehinggalah dia tiba di rumah Lin. Kemudian destinasi seterusnya buat Min ialah rumah kawannya Nina. Disebabakan rumah Nina tidak berapa jauh dari rumah Lin, maka Min bersetuju untuk menjemput Nina sekali. Sedang mereka seronok berbual-bual, tiba-tiba kedengaran bunyi yang kuat dari depan mereka. “Apa tu?” Lain macam aje bunyinya.” Soal Lin risau.
Di dalam kepala Min pula terbayang-bayang kucing yang dilanggarnya semalam. Janganlah aku langgar kucing lagi. Itulah bisik Min dalam hati. Tiba-tiba sahaja Lin menjerit, “Min kau langgar kucing lagi.” Min yang mendengar jeritan Lin tiba-tiba sahaja merasakan kepalanya berpusing-pusing seperti berpusingnya kucing hitam yang baru dilanggarnya itu.
Petikan dari : Mingguan wanita
Suatu pagi seorang pemandu teksi di Pulau Jeju, Korea tak lagi dapat bertahan. Sejak sejam tadi dia cuba mencari tempat yang sesuai, tapi tak ketemu.
Sebaik melintasi kawasan sunyi di Baengnokdam- antara Mt. Halla dan Mt. Sabang dia memberhentikan teksinya, mematikan enjin, membuka pintu dan berlari ke belukar berhampiran. Tiga minit kemudian selepas menunaikan hajat pemandu itu kembali ke teksinya “Aiiii...!!!” dia terperanjat teksinya lesap. Sebaik menoleh, dia nampaknya teksinya bergerak perlahan menyusuri jalan yang lurus itu. Termengah-mengah pemandu itu mengejar teksinya.
![]()
Selepas berlari sejauh lebih 200 meter barulah teksi itu dapat dihentikan. “Alamak...hand brake tak tarik!” bisiknya lagi. Semasa meneruskan perjalanan, baru dia tersedar bahawa laluan dia berlari tadi sedikit mendaki. “Kalau begitu, bagaimana teksi ni mampu bergerak sendiri mendaki bukit?” fikirannya berperang. Pemandu teksi itu berpatah balik, mahu melihat apa dan bagaimana kejadian itu berlaku. Dia benar-benar terperanjat melihat jalan itu berbukit. Puas dia memikirkannya. Mustahil kenderaan mampu bergerak sendiri jika tanah tidak rata. Berasa pelik, pemandu teksi itu membuat percubaan sendiri. Dimatikan enjin teksinya sekali lagi. Menakjubkan...apabila teksinya bergerak mendaki jalan raya itu.
Ketakutan, pemandu teksi memecut ke stesen Jeju memberitahu rakan-rakannya. Para pemandu ramai yang datang menguji sendiri. Semuanya terperanjat. Kini jalan sepanjang 500 meter itu dikenali dengan nama Ghost Road dan menjadi daya tarikan pelancong. Setiap bas pelancong akan mematikan enjin ketika melalui jalan ini. Bas itu akan bergerak sendiri sejauh 500 meter.
Hingga ke hari ini tiada siapa di Jeju dapat memberikan jawapan kenapa dan bagaimana jalan berbukit itu dapat didaki setiap kenderaan tanpa menggunakan enjin. Air yang dicurahkan pada permukaan jalan juga mengalir ke atas, tidak turun seperti kebiasaan. Para saintis yang menjalankan kajian tidak dapat memberikan jawapan bagaimana keadaan itu berlaku.
P/S : Tiada yang mustahil dalam hidup ini.
Semasa menuntut dalam jurusan sains sosial di sebuah universiti tempatan pada pertengahan 1990-an lalu, saya kerap ke perpustakaan. Bukanlah ulat buku. Tetapi assignment banyak memaksa saya ke sana.
Pada semester pertama tahun dua, salah satu tugasan saya ialah membuat assignment mengenai nisan Aceh, iaitu nisan zaman kerajaan Melayu lama. Dalam masa yang sama, saya juga sibuk menyiapkan assignment sejarah kuasa-kuasa besar dalam Perang Dunia pertama. Kedua-dua tugasan itu perlu dibentangkan dalam kelas tutorial yang cuma selang sehari saja. Bayangkan betapa sibuknya saya ketika itu.
Selepas maghrib, saya mengepit fail dan menuju ke bilik sahabat saya, Saliza. Malangnya hari tu dia diserang migrain pula. Hendak diajak kawan lain, mereka baru sahaja keluar ke bandar. Mahu tak mahu, malam itu saya ke perpustakaan seorang diri. Tidak ramai pelajar malam itu. Mungkin disebabkan malam itu hujan renyai, tambahan pula hujung minggu.
Suasana sunyi. Saya terus mencari buku-buku yang disarankan pensyarah. Saya ambil buku-buku yang berkaitan hingga bertimbun di atas meja. Bab-bab yang ada bersangkutan dengan tugasan, saya fotostat, kemudian saya bawa balik ke meja dan menelaah. Sedang khusyuk menyelak helaian-helaian buku, tiba-tiba...
Alamaaaakkk! Tidak sedar, sudah pukul 10.45 malam rupanya! Tinggal 15 minit saja lagi perpustakaan akan ditutup sedangkan masih banyak lagi buku yang hendak dirujuk.
Saya selak helaian-helaian buku dan mencatat muka suratnya secepat mungkin. Dalam masa yang sama, saya menjeling ke depan, kiri, kanan dan belakang. Apabila menyedari tinggal saya seorang saja, saya terus mengemas dan bangun.
Saya cuba mengejar dua orang pelajar di depan, tetapi terlambat. Lif terbuka semasa mereka sampai dan tertutup sebelum sempat saya memasukinya. Bila tinggal keseorangan di tempat yang sunyi sepi, timbul rasa takut. Mulalah cerita-cerita menakutkan datang menyerbu fikiran. Siapa tidak tahu dengan cerita-cerita di perpustakaan itu. Ada orang bercerita, jika bersendirian pada waktu malam, akan kedengaran bunyi orang berjalan dari rak ke rak seperti mencari buku rujukan.
Pernah juga diceritakan oleh kawan saya, seorang pengawal keselamatan demam tiga hari selepas terserempak dengan tentera jepun sedang berkawad. Tangga perpustakaan juga ada ceritanya. Menurut senior, beberapa orang pelajar pernah dipegang dari belakang ketika menaiki tangga. Bila ditoleh, mereka melihat satu lembaga putih yang berwajah hodoh dan dipenuhi darah.
Waktu menggelisah seorang diri itulah pintu lif terbuka. Saya terus masuk, seorang gadis saya lihat berjalan menghala ke lif wajahnya tunduk memandang lantai.
Ah, alangkah leganya kerana saya mempunyai kawan. Lalu saya tekan butang supaya pintu lif terus terbuka sehinggalah pelajar perempuan itu masuk. Tiada sepatah perkataan pun keluar dari mulut kami. Dalam hati saya berkata, wanginya perfume budak ni. Baunya lembut, selembut longgokan bunga. Saya menjeling ke arahnya, tetapi gadis itu masih tunduk memandang lantai. Wajahnya tidak berapa jelas kerana ditutupi kain tudungnya yang ditarik ke hadapan. Hmm..budak tahun satu agaknya, malu-malu lagi.
Tapi baru sampai di aras tiga, pintu lif terbuka dan gadis berkenaan keluar. Saya tertanya-tanya kerana untuk apa dia turun di situ. Sedangkan pintu keluar adalah di aras satu. Pintu lif terkatup, ia bergerak turun dan berhenti pula di aras satu. Pintu terbuka dan saya terkejut, pelajar tadi berdiri di hadapan pintu! Perlahan-perlahan dia mengangkat muka dan memandang saya sambil tersenyum. Saya tergamam. Hendak menjerit, tapi suara tersekat dikerongkong.
Dalam hati saya meraung, jika dia masuk, memang saya akan pengsan di situ juga. Namun pelajar itu cuma berdiri di depan pintu lif, tersenyum dan memandang saya dengan renungan yang sukar untuk saya gambarkan.