Create your Blog on PORTAL ZAIS BEAUTY FORMULA | HOME
Psikologi
Psikologi

Rencana yang memaparkan hal-hal psikologi berhubung kekeluargaan, persahabatan, pekerjaan, dan sebagainya.


Friday, 01 January 2010

Dapur kemas selesa buat si ibu



Keselesaan saat menyediakan masakan buat keluarga adalah bermula daripada dapur yang kemas. Selain meningkatkan 'mood' memasak, dapur yang kemas pasti lebih memudahkan pergerakan anda di ruang tersebut. Sebagai ibu, anda bukan sahaja perlu memastikan dapur sentiasa kemas, malahan sentiasa bersih dan berbau harum.


1. Rutin Mingguan


Pastikan ruang dapur dikemaskan sekurang-kurangnya seminggu sekali agar dapat mengekalkan suasana yang segar dan menyenangkan. Namun, jika dapur sering digumakan, pastikan ia dikemas dengan lebih kerap atau pada setiap hari.


2. Tempat simpanan Khas


Sediakan tempat simpanan khas bagi menempatkan bahan masakan seperti bawang, rempah ratus, lada, garam dan sebagainya. Bekas simpanan bertingkat sesuai dijadikan pilihan bagi menjimatkan ruang. Selain itu, sediakan satu sudut bagi ruang menggantung senduk dan sudip. Ia bukan sahaja kelihatan kemas malahan memudahkan anda mencapainya ketika memasak.


3. Bersihkan peralatan dapur


Lap semua peralatan dapur seminggu sekali dengan menggunakan span atau kain basah yang dicampurkan cecair antiseptik. Begitu juga bagi permukaan kabinet dapur, pastikan ia dilapkan setiap kali anda selesai memasak.


4. Bersihkan sawang


Jangan abaikan permukaan syiling, kipas, lampu dan dinding anda. Pastikan anda membersihkan sawang yang terdapat di permukaannya. Selain itu, mop permukaan lantai anda selang sehari agar ia sentiasa bersih dan bersinar. Gunakan air yang dicampurkan cecair pembasmi kuman bersama wangian yang anda gemari.


5. Sediakan bakul sampah


Segelintir individu lebih gemar membuang sampah ke dalam plastik yang hanya digantung di tombol pintu. Ini menyebabkan ruang dapur kelihatan kurang menarik. Oleh itu, pastikan anda menyediakan bakul sampah di ruang dapur dan pastikan sampah tersebut dibuang pada setiap hari bagi mengelakkan ia berbau busuk.


6. Haruman aromaterapi


Suasana yang harum dan segar bukan sahaja mendamaikan, malahan mampu meningkatkan 'mood' seseorang. Anda boleh meletakkan haruman aromaterapi sama ada berbentuk penyegar udara mahupun lilin wangi yang dinyalakan di sudut dapur anda.


7. Kerjasama ahli keluarga


Tiada guna jika anda sahaja yang berusaha menjaga kebersihan dapur jika ahli keluarga yang lain mengabaikannya. Oleh itu, minta kerjasama suami dan anak-anak anda agar turut membantu anda membersihkan dan menjaga kebersihan dapur secara bersama. Ia bukan sahaja dapat memupuk hubungan mesra malahan mewujudkan kediaman yang lebih harmoni.


Rujukan : Majalah Harmoni/Mei 2009


Oleh : Nurul Huda Zulkifli

siti 08:36 - Link - comments